HUBUNGAN BAIK DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN PENTING UNTUK PEMBANGUNAN SABAH

LAHAD DATU, 2 November – Kerajaan Madani turut memberi sumbangan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terjamin.

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata banyak inisiatif dan peruntukan baharu telah diberikan untuk Sabah.

Beliau berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba menafikan pencapaian dan bantuan besar yang telah disalurkan oleh kerajaan Madani kepada Sabah.

Menurutnya, di bawah pentadbiran kerajaan Madani, Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.9 billion iaitu yang tertinggi pernah diberikan.

“Selain itu, peruntukan khas Sabah turut ditambah daripada RM300 juta kepada RM600 juta.

“Banyak lagi bantuan lain yang telah disalurkan termasuk langkah menstabilkan harga petrol serta usaha memperkukuh peluang pekerjaan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jelajah Harapan Urang Sabah @ DUN Segama yang berlangsung di Dewan Sabah Baru 2, di sini petang Sabtu.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin.

Mustapha berkata, rakyat perlu menilai secara bijaksana usaha dan dasar kerajaan Madani yang memberi keutamaan kepada pembangunan rakyat luar bandar termasuk menaik taraf infrastruktur, kemudahan asas dan kebajikan masyarakat nelayan serta petani di kawasan pedalaman Sabah.

“Penerangan ini penting agar rakyat khususnya di kawasan DUN Segama faham bahawa pelbagai program pembangunan yang sedang berjalan kini adalah hasil hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu rakyat memilih wakil yang bukan sahaja dekat dengan rakyat tetapi juga sehaluan dengan parti Perdana Menteri agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek serta dasar pembangunan dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Banyak yang perlu kita laksanakan di Sabah ini dan semua itu memerlukan koordinasi serta hubungan baik dengan kerajaan pusat. Hanya melalui kerjasama yang harmoni, agenda pembangunan negeri dapat direalisasikan,” jelasnya.

TAMAT