Gagasan Rakyat Karamunting Nafi 90 Ahli Keluar Parti Sertai Warisan

SANDAKAN, 5 November – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Karamunting menafikan dakwaan bahawa seramai 90 ahlinya telah keluar parti dan menyertai Parti Warisan, seperti yang tular baru-baru ini.

Setiausaha Bahagian Gagasan Rakyat Karamunting, Nicholas Choong, berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan hasil semakan dalaman mendapati individu dalam gambar yang tersebar bukan ahli mahupun pimpinan parti di kawasan berkenaan.

“Kenyataan ini dikeluarkan bagi menafikan laporan mengenai kononnya berlaku penghijrahan besar-besaran ahli Gagasan Rakyat ke parti lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, jika benar dakwaan itu berasas pihak Warisan sepatutnya mengemukakan senarai nama, cawangan terlibat serta bukti keahlian mereka.

Choong turut menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai mana-mana ahli yang keluar dari parti setakat ini.

Beliau menyifatkan penyebaran maklumat tidak tepat seperti itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan pengundi.

“Jika benar mempunyai kekuatan politik buktikan melalui rekod perkhidmatan dan dasar bukan melalui dakwaan tanpa asas,” tegasnya.

TAMAT