sh@ Syarmilah Salleh
TAWAU, 28 Julai 2025 – Seramai 40 orang lelaki dan wanita ditahan dalam Operasi Bersepadu di Tawau dan Kalabakan.
Operasi dijalankan bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), kes narkotik serta penguatkuasaan undang-undang lain.
Operasi tersebut dikoordinasikan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta beberapa agensi penguat kuasa tempatan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata operasi tertumpu di beberapa kawasan berisiko tinggi penyeludupan dan pencerobohan seperti beberapa lokasi strategik termasuk bandar Tawau, pekan Kalabakan, Jeti Kompleks Kastam, pasar, Kuarantin (CIQ) Lama, dan Pos Kawalan RCP Kalabakan.
Operasi bersepadu selama dua hari itu bermula 25 Julai lalu melibatkan lebih 150 anggota pelbagai agensi.
Sepanjang operasi, sebanyak 146 pemeriksaan fizikal dilakukan ke atas individu, premis perniagaan dan kenderaan di mana 21 PATI warganegara Filipina dan Indonesia telah ditahan kemudian diserahkan kepada JIM untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau dan Ketua Balai Polis Kalabakan turut menahan 19 individu termasuk dua orang pengedar dadah.
Hasil ujian air kencing dan pemeriksaan mendapati mereka terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.
Rampasan melibatkan dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 125.64 gram, 41 botol cecair disyaki ketum dan wang tunai berjumlah RM950.00.
Dalam pada itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Daerah Tawau turut mengambil tindakan ke atas aktiviti penyambungan elektrik haram di beberapa lokasi penempatan menyebabkan kerugian anggaran sekitar RM750,000 di bawah Seksyen 61(3), Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Victor menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dan menjamin keselamatan negeri.
TAMAT