ESSCOM Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi PRN Sabah

LAHAD DATU, 18 Okt – Keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) terus menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri apabila Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, turun padang meninjau kesiapsiagaan operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini hari ini.

Lawatan kerja yang diadakan di Pejabat Esscom Itu dihadiri kira-kira 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan.

Antara yang hadir termasuk Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos; Timbalan Komander Brigadier Jeneral Mohammad Ismail Kamarudin; SAC Datuk Habibi Majinji, Ketua Staf Bahagian Operasi Darat; serta beberapa pegawai kanan ESSCOM lain.

Dalam sesi taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Brig. Jen. Mohammad Ismail, ESSCOM menekankan keutamaan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di samping mengekang penyebaran maklumat palsu dan fitnah yang boleh menjejaskan kestabilan komuniti setempat.

Beliau turut menjelaskan kawasan Pantai Timur Sabah kekal terdedah kepada ancaman militan dan jenayah rentas sempadan justeru kerjasama antara agensi penguatkuasa akan terus diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan operasi keselamatan di kawasan ESSZONE.

Menurutnya, ESSCOM kini berada dalam Fasa 2 (2024–2028) yang menumpukan kepada pengukuhan keselamatan dan kesiapsiagaan operasi.

Antara inisiatif dirancang termasuk pemasangan lima Long Range Camera (LRC) di perairan Pulau Banggi, Kudat; penempatan Tactical Floating Barge bersama enam bot pemintas serta pembinaan Pos PGA di Pulau Bankawan bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan.

ESSCOM juga merancang perolehan Sistem Dron Taktikal bagi mempertingkat keupayaan pemantauan udara serta keselamatan maritim di kawasan ESSZONE selain projek pembinaan Jalan Keselamatan dari Pos Gogotin ke Kampung Sibumbong dan menara pemantau di Pos Dogoton (ATM).

Dr. Shamsul Anuar berkata, lawatan berkenaan memberi peluang kepada kementeriannya memahami dengan lebih dekat peranan strategik ESSCOM dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah.

Beliau turut menegaskan kepentingan pendekatan bersepadu antara semua agensi keselamatan bagi memastikan kelancaran proses demokrasi serta menjamin keselamatan, kestabilan dan keharmonian negeri sepanjang tempoh PRN.

Selesai lawatan di Pejabat ESSCOM, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu bersama rombongan meneruskan program ke Sepanggar Shipyard, Lahad Datu bagi menyempurnakan Majlis Penamaan dan Penyerahan 12M Rigid Hull Fenders Boat kepada agensi keselamatan berkaitan.

TAMAT