TAWAU, 28 Ogos – Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di depan Tokoh Maria Batu 4, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Kebakaran itu menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan akibat melecur.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, seorang lelaki berusia 57 tahun cedera melecur di bahagian kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri.
Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, sepasukan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama enam anggota Pasukan Bomba Komuniti Titingan dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, didapati sebuah rumah berkeluasan 50×30 kaki persegi terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah berkeluasan 60×40 kaki persegi musnah kira-kira 60 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki, satu dividing breeching dan dua pancutan dengan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Bacho bin Ambosappe, 57, menerima rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi terkawal pada jam 7.24 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas memastikan kawasan selamat.
Turut membantu dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Tamat