DUA PELANCONG CHINA HILANG DI PULAU MANTANANI — OPS SAR MASUK HARI KEENAM

KOTA BELUD, 11 Okt — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua pelancong warga China yang dipercayai hilang di Pulau Mantanani sejak Ahad lalu kini memasuki hari keenam, namun kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kota Belud pada jam 9.25 pagi, 6 Oktober lalu, memaklumkan kehilangan dua pelancong terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai Yu Xiaopeng dan wanita berusia 28 tahun itu dikenali Fan Win telah mendaftar masuk ke resort Pulau berkenaan pada 4 Oktober dan dijadualkan mendaftar keluar sehari kemudian, namun tidak berbuat demikian.

“Barang-barang peribadi milik kedua-dua mangsa masih berada di dalam bilik penginapan, dan sehingga kini mereka masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR hari keenam dimulakan pada jam 8.20 pagi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pasukan PPDA Zon Kudat dan Zon Kota Kinabalu turut melaksanakan aktiviti penyelaman di kawasan perairan Tanjung, manakala pasukan PGA digerakkan untuk rondaan darat di sekitar Kampung Siring Bukit dan sepanjang pesisir pantai.

Selain itu, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut melakukan pemantauan dari udara dengan liputan sejauh 3.3 kilometer dari kawasan Jeti Sutera, Pulau Mantanani.

“Pasukan PPDA Zon Kudat dengan bantuan penyelam PADI menamatkan aktiviti selaman di kedalaman 700 meter dengan jarak penglihatan sekitar tujuh meter. Keadaan arus laut juga dilaporkan baik,” katanya.

Operasi pencarian turut dijalankan di darat melibatkan radius sejauh 4.1 kilometer sekitar pulau, selain pemantauan laut menggunakan tiga buah kayak di kawasan Tanjung.

“Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang. Pencarian akan disambung semula esok,” jelasnya.

Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi tersebut termasuk dari BBP Kota Belud (9 anggota), PPDA Zon Kudat (7 anggota), PPDA Zon Kota Kinabalu (6 anggota), Unit K9 (2 anggota) dan Unit Dron (2 anggota).
Turut membantu ialah PDRM (33 anggota), APMM (6 anggota), APM (5 anggota) serta NGO (6 anggota).

Operasi diketuai oleh PgB Mohd Hafizrul bin Junaidi selaku Komander Operasi Kanan dan PKPgB Mohd Razali bin Ahmad @ Awang Ahmad sebagai Komander Operasi.

TAMAT