Dua Bot Asing Ditahan Ceroboh Perairan Tawau

Oleh: Syarmilah Salleh

TAWAU, 15 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Tawau menahan dua bot asing daripada negara jiran kerana menceroboh perairan negara.

Bot daripada Indonesia itu ditahan berhampiran Tanjung Tinagat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kedua-dua bot bersama tujuh kru warga Indonesia itu ditahan kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Tanjung Tinagat pada jam 11.30 pagi ketika rondaan rutin menerusi Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan diri, pendaftaran bot serta pelepasan pelabuhan. Juragan mengaku diarahkan pihak ketiga untuk mengambil barangan dagangan, namun mendakwa tidak mengetahui kawasan itu adalah perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua yang ditahan termasuk dua juragan berusia antara 22 hingga 50 tahun. Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang muatan kecuali beberapa gelen bahan api dipercayai untuk kegunaan perjalanan jauh.

Kedua-dua bot bersama kru diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat. Nilai rampasan termasuk enjin bot dianggarkan berjumlah RM75,000.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan perkara itu akan dirujuk kepada Konsulat Republik Indonesia di Tawau bagi pengesahan identiti semua tahanan.

Ariffin tidak menolak kemungkinan wujud unsur sindiket penyeludupan barangan dalam kes berkenaan.

“Maritim Malaysia komited memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tegasnya.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999.

TAMAT