CIS SUMBANG RM1 JUTA KEPADA SAFA, PERKASA BOLA SEPAK SABAH

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 1 APRIL– Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebagai usaha memperkukuh pembangunan dan prestasi bola sepak negeri.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi CIS, Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Awang Kadin Tang dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA di sini.

Turut hadir, Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.

Japlin berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong pembangunan bola sepak di Sabah khususnya dalam memperkasa program pembangunan bakat dan meningkatkan prestasi pasukan negeri.

Menurutnya, bola sepak bukan sekadar sukan malah menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan serta jati diri dalam kalangan generasi muda.

“CIS percaya sokongan berterusan kepada sukan ini mampu memberi impak besar kepada pembangunan belia dan masa depan bola sepak negeri,” katanya.

Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan kepada SAFA dalam usaha memperkasa lagi arena bola sepak Sabah.

Beliau berkata, sumbangan itu turut mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.

Share This Article