Buaya 200 Kilogram Ditangkap APM Sandakan

SANDAKAN, 28 Okt – Buaya seberat kira-kira 200 kilogram dan sepanjang sembilan kaki berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan di Kampung Sungai Obar, Batu 7, awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 1.42 pagi selepas reptilia itu dilihat muncul di bawah kolong rumah penduduk ketika mengejar seekor anjing.

β€œPengadu yang ketakutan melihat buaya semakin menghampiri kawasan rumah segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Susulan laporan itu,sepasukan anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba tidak lama kemudian untuk melaksanakan operasi menangkap haiwan berkenaan.

Pasukan operasi kemudian menjerut dan menutup mata buaya menggunakan tali,penyepit dan selimut keselamatan bagi mengelakkan reptilia itu bertindak agresif.

Operasi berjaya ditamatkan pada 2.53 pagi yang mengambil masa hampir 49 minit tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini dilaporkan.

Seramai seorang pegawai dan tujuh anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan dua buah Light Rescue Vehicle (LRV) bagi menyokong pelaksanaan tugas di lapangan.

APM Sandakan menasihatkan penduduk agar berwaspada di kawasan berhampiran sungai dan segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya melihat haiwan liar yang boleh mengancam keselamatan.

TAMAT