sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 19 Ogos – Seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan cukup sifat di sebuah kebun sawit, Kampung Sri Aman, Jalan Silam di sini pada pagi Selasa.
Bayi berkenaan dijumpai kira-kira jam 8.00 pagi dalam keadaan masih hidup sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin bin Haji Ismail dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan penemuan bayi tersebut.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek utama kes pembuangan bayi terbabit,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa bin Dahkan di talian 089-881255 atau hadir ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
TAMAT

