MEMBAKUT: Cuaca cerah dan aliran air yang menurun laju sejak awal pagi hari ini menyaksikan keadaan banjir di beberapa kawasan di daerah Membakut semakin pulih.
Hujan yang turun di Sub Stesen Ulu Membakut pada petang kelmarin (12 Mei) sekitar jam 5.34 petang telah menyebabkan limpahan air di beberapa lokasi utama namun paras air kini dilaporkan semakin surut.
Sementara itu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Membakut melaporkan hasil pemantauan di tiga kawasan hotspot banjir di kawasan Jalan Balai Polis mencatat paras air 0.0 – 0.1 meter dan boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Manakala Kampung Baitam Baru mencatat paras air 0.0 – 0.6 meter, turut boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Di Kampung Jambatan Baru pula mencatat paras air 0.0 – 0.4 meter dan tidak menjejaskan laluan kenderaan.
Bagaimana pun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan tiada mangsa banjir dilaporkan.
Laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut mengesahkan situasi masih terkawal.
Bacaan paras air Sungai Membakut pada jam 1.00 petang berada pada paras 4.8 meter AMSL, melepasi paras waspada (4.00 AMSL) namun masih di bawah paras amaran (5.10 AMSL) dan bahaya (6.30 AMSL).
Beberapa jalan yang terjejas banjir juga semakin pulih iaitu Jalan Klinik Kesihatan Membakut boleh dilalui semua kenderaan.
Begitu juga Jalan Balai Polis hanya boleh dilalui oleh kenderaan besar, manakala kenderaan kecil dinasihatkan mengelak.
Kawasan Jalan Bandau juga boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Seramai dua anggota APM Membakut telah digerakkan bersama sebuah kenderaan ambulans CS211 untuk pemantauan dan kesiapsiagaan. Tiada insiden kecemasan dilaporkan setakat jam 2 petang tadi.
Menurut Sekretariat JPBD Membakut, keadaan cuaca kekal cerah dan air dari Ulu Membakut mengalir turun dengan cepat, menjadikan situasi lebih stabil menjelang lewat petang.
Untuk maklumat lanjut dan pemantauan semasa, orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti saluran rasmi JPBD dan APM Membakut.
TAMAT