ANAK JATI TAWAU RAIH ANUGERAH BERPRESTIJ DI SHAREDA EXCELLENCE AWARDS 2025

KOTA KINABALU, 29 Oktober – Kejayaan membanggakan buat Tawau apabila Chuan Ann Realty Sdn Bhd sebuah syarikat pembangunan hartanah milik anak jati Tawau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Property Development of the Year sempena Majlis SHAREDA Excellence Awards Night 2025 yang berlangsung di Sutera Harbour, di sini malam sabtu lalu.

Anugerah berprestij anjuran Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA) itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang projek unggulan syarikat berkenaan.

Midvalley Commercial Hub pembangunan komersial yang menampilkan elemen inovasi, kemampanan dan impak signifikan terhadap landskap hartanah di Sabah.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam bidang pembangunan hartanah malah membuktikan kemampuan anak jati Tawau untuk bersaing dan mencipta nama di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

Menurut wakil syarikat, pengiktirafan itu menjadi penanda komitmen berterusan Chuan Ann Realty Sdn Bhd dalam melaksanakan misinya membangunkan Tawau sebagai bandar moden, progresif dan berdaya saing.

Syarikat turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan,rakan kongsi strategik serta pelanggan atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan mereka dalam industri tersebut.

Kejayaan ini sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada anak muda Tawau bahawa dengan usaha gigih, dedikasi dan visi yang jelas, kejayaan besar bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

TAMAT