POLIS SEMPORNA TAHAN LELAKI, RAMPAS SYABU LEBIH 51 GRAM

sabahheadlines
1 Min Read

Semporna, 27 Jan 2026 – Seorang lelaki diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram dalam satu operasi di Kampung Batu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10 malam oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna ketika melaksanakan Operasi Tapis.

Menurut beliau, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak agresif dan cuba melarikan diri apabila dihampiri polis, menyebabkan berlaku pergelutan singkat. Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan. Pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan memiliki satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah disyaki syabu yang berada dalam pegangannya.

Suspek berusia 32 tahun dan bukan wargatempatan turut didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan air kencing, namun semakan mendapati tiada rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah narkotik kepada pihak berkuasa.

TAMAT

Share This Article