LAPORAN KHAS: Gelombang Segamanisasi

sabahheadlines
4 Min Read

Oleh: Syarmillah Salleh

Fenomena politik yang kini digelar “Gelombang Segamanisasi” menjadikan kerusi N.61 Segama sebagai salah satu medan pertempuran paling panas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DU) Sabah.

Dahulu ia dianggap kubu kuat parti dominan Dan kawasan ini kini menyaksikan pertembungan sengit antara calon lama, muka baharu, dan calon bebas, menjadikan setiap langkah politik di Segama sukar dijangka dan penuh teka-teki.

Segama boleh dikatakan kubu kuat parti Warisan namun perkembangan semasa menunjukkan perubahan yang menarik.

Calon yang menang sebelum ini telah beralih kepada parti lain (UMNO/BN) dan terdengar khabar bahawa beliau mungkin bertanding semula kerana masih mendapat sokongan daripada masyarakat pengundi di kawasan tersebut.

Semua ini masih menjadi teka-teki menjadikan senario politik Segama semakin tidak menentu.

Berdasarkan maklumat awal di peringkat akar umbi, dijangka 9–10 calon akan bertanding bagi merebut kerusi Segama termasuk penyandang, muka baharu, dan beberapa calon bebas.

Kehadiran calon bebas dijangka mewarnai gelanggang politik sama ada untuk menonjolkan isu setempat atau sekadar memecahkan undi daripada parti-parti utama. Malah kemungkinan bakal ada lagi calon bebas yang menawarkan diri.

Situasi politik Segama kini semakin hangat apabila pada awalnya terdapat dua parti yang bersetuju melalui rundingan pimpinan masing-masing untuk tidak bertembung di kerusi tersebut.

Namun rundingan tersebut gagal dipersetujui dan kedengaran salah satu pihak memutuskan untuk bertanding juga sama ada menggunakan parti sedia ada atau logo lain.

Senario ini tidak mustahil mengundang boikot senyap di kalangan pengundi tertentu sekaligus berpotensi mempengaruhi jumlah undi secara signifikan.

Setakat ini parti-parti yang mengesahkan penyertaan termasuk GRS,SAPP,Parti Impian Sabah,Pakatan Harapan,Perikatan Nasional,Warisan dan beberapa calon bebas.

Beberapa parti utama kini sedang menilai calon paling layak dengan pertikaian berterusan mengenai sama ada calon tempatan atau ‘import’ lebih sesuai diketengahkan.

Akar umbi sebahagian besar mahukan wakil tempatan kerana lebih memahami budaya, latar, dan isu masyarakat Segama termasuk pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan kesejahteraan komuniti pesisir.

Setiap parti mula mengatur strategi melalui jaringan keluarga, komuniti kampung, dan kempen bersemuka di pasar serta pekan kecil sekitar Lahad Datu.

Parti dominan dan pembangkang utama turut memperkukuh jentera akar umbi yang sudah lama bertapak.

Demografi pengundi muda dijangka menjadi faktor penentu. Dengan peningkatan jumlah pengundi bawah 40 tahun, isu seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan kos sara hidup dijangka memainkan peranan besar dalam keputusan pengundian.

Pemerhati politik turut melihat mood pengundi muda kini lebih terbuka tidak lagi terikat kepada satu parti dan mudah dipengaruhi oleh personaliti calon serta isu semasa.

DUN Segama meliputi kawasan luas termasuk Ulu Segama, Jalan Segama, Tabanak, Belacon, Tengah Nipah, Dam Road, North Road, dan Singgamata menjadikannya antara kawasan pilihan raya paling mencabar dari segi geografi dan liputan kempen.

Kawasan ini dihuni pelbagai etnik seperti Bajau, Bugis, Idahan dan Dusun menjadikan strategi kempen berbentuk komuniti amat penting.

Dengan jumlah pengundi seramai 29,840 orang terdiri daripada 15,563 pengundi lelaki dan 14,277 pengundi perempuan, Segama menjadi barometer kekuatan sebenar parti dominan serta ujian kepada parti lain yang cuba menembusi kubu bersejarah ini.

“Gelombang Segamanisasi” bukan sekadar istilah tetapi fenomena politik yang menggambarkan pertembungan antara dominasi lama dan kebangkitan baharu.

Walaupun parti dominan masih mempunyai kelebihan dari segi pengaruh dan jaringan akar umbi namun kemasukan parti-parti baharu serta calon bebas berpotensi mengubah arus politik Segama.

Pertarungan kali ini bukan hanya soal parti tetapi soal siapa yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat Segama. Apa jua keputusannya Segama akan kekal sebagai pentas ujian sebenar kekuatan jentera dan kesetiaan akar umbi menjelang PRU DU Sabah.

TAMAT

Share This Article