PHRS PERKUKUH AKAR UMBI, TERIMA TUJUH CAWANGAN BAHARU DI LAHAD DATU

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 7 JUN-Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) terus memperkukuhkan pengaruhnya di peringkat akar umbi apabila menerima kemasukan tujuh cawangan baharu sempena Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Segama, Silam dan Tungku yang berlangsung di sini, pada sabtu.

Presiden PHRS, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah, berkata perkembangan itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap perjuangan parti berkenaan dalam membela nasib rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan hampir 300 ahli parti dari ketiga-tiga bahagian hadir bagi menjayakan mesyuarat berkenaan termasuk ahli dan wakil cawangan dari Kampung Tambisan serta Ulu Segama yang sanggup datang dari kawasan jauh tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

“Saya amat terharu dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli parti yang hadir. Kehadiran mereka membuktikan kesungguhan untuk bersama-sama memperjuangkan aspirasi rakyat melalui PHRS,” katanya ketika merasmikan mesyuarat itu.

Turut hadir Pemangku Timbalan Presiden PHRS, Samsiah Usman, Pemangku Setiausaha Agung, Mahar Zemi Jamawi dan Ketua Wanita PHRS, Norazian Dumit.

Dalam ucapannya, Liew mengingatkan kepimpinan parti di peringkat bahagian supaya sentiasa mendekati masyarakat dan membantu penduduk kampung tanpa mengira kedudukan atau jawatan politik yang disandang.

Beliau menegaskan bahawa ketiadaan wakil rakyat PHRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bukan alasan untuk parti itu berhenti berkhidmat kepada rakyat.

“Jangan jadikan ketiadaan jawatan sebagai penghalang untuk turun padang membantu masyarakat.

” Jangan tunggu ada jawatan baru mahu bekerja dan menolong orang kampung,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepimpinan pusat akan terus membantu penduduk dan ahli parti yang memerlukan termasuk menyalurkan bantuan melalui sumber kewangan parti sendiri.

Pada majlis sama, beliau menerima penyerahan borang kemasukan ahli baharu melibatkan tujuh cawangan sekali gus memperkukuhkan lagi struktur organisasi PHRS di kawasan Segama, Silam dan Tungku.

Liew turut menyeru seluruh ahli parti agar terus bersatu hati bersama kepimpinan PHRS serta menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor demi kestabilan dan pembangunan negeri Sabah.

Katanya, semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam membantu rakyat perlu terus diperkasakan bagi memastikan perjuangan parti kekal relevan dan mendapat kepercayaan masyarakat.

Share This Article