114 PATI Warga Indonesia Dipindahkan Melalui Pelabuhan Tawau

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 12 Mac – Seramai 114 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan pulang ke negara asal melalui laluan laut di Pelabuhan Tawau, hari ini.

Pemindahan itu merupakan siri keempat program repatriasi yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa, melibatkan tahanan yang sebelum ini ditempatkan di depot imigresen di Sabah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 78 orang adalah lelaki dewasa, diikuti 26 wanita dewasa, selain enam kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan. Kesemua individu terbabit dihantar pulang ke Nunukan, Indonesia dan turut diiringi wakil Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar.

Menurut rekod semasa, sebanyak 1,653 tahanan PATI telah berjaya dipindahkan keluar dari Sabah setakat ini melalui beberapa siri operasi yang dijalankan.

Statistik juga menunjukkan warga Filipina mencatatkan peratusan tertinggi dalam kalangan tahanan yang dipindahkan iaitu sebanyak 55 peratus, diikuti warga Indonesia 38 peratus. Selebihnya melibatkan warga Pakistan sebanyak empat peratus, China dua peratus serta satu peratus daripada negara lain.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Negeri Sabah mengingatkan masyarakat supaya tidak melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin, selain diminta lebih peka terhadap kehadiran warga asing yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti PATI kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) bagi membantu penguatkuasaan undang-undang imigresen di negeri ini.

TAMAT

Share This Article