SEMPORNA, 9 Okt 2025 – Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu Operasi Penguatkuasaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Imigresen Semporna pada 7 hingga 8 Oktober lalu.
Operasi yang disertai tujuh pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan jabatan berkenaan dalam membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di daerah ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemeriksaan dilakukan terhadap 25 individu, dan hasilnya tujuh orang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara China dan Pakistan.
Datuk Sh Sitti Saleha turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dan berkesan dapat diambil oleh pihak berkuasa.
“Jabatan ini tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan PATI. Tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus terpelihara,” tegasnya.
TAMAT