sh@ editor
KOTA KINABALU, 19 OGOS 2025 (Selasa) –Sebuah bot tanpa orang ditemui dan dikesan membawa bungkusan yang mencurigakan.
Bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditemui di perairan Stesen PAPA malam Isnin lalu dan dikesan membawa 42 bungkusan.
Pengarah Maritim Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata bot itu diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia sekitar jam 8.20 pagi selepas dikesan melalui pemantauan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Pemeriksaan awal menemui tiga bungkusan di bahagian bilges bot, manakala pemeriksaan terperinci bersama pasukan Forensik dan Seksyen Siasatan Jenayah Maritim menjumpai tambahan 39 bungkusan dalam tangki penyimpanan air,” katanya.
Kesemua bungkusan disyaki mengandungi dadah dan sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan lanjut. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Maritim Malaysia menegaskan usaha memperketat kawalan di perairan Sabah, khususnya kawasan ESSZone, akan diteruskan bagi membanteras penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan.
TAMAT

