LAHAD DATU, 26 Sept – Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan empat penyeludup di tiga daerah berasingan.
Cubaan menyeludup barangan bernilai lebih RM326 ribu itu di daerah kecil Menumbok, Lahad Datu dan Semporna digagalkan menerusi operasi khas yang digerakkan serentak oleh pasukan marin polis pada Khamis.
Operasi bermula kira-kira jam 6.05 petang itu menyaksikan seorang lelaki tempatan ditahan di kawasan Tungku, Lahad Datu, bersama sebuah pacuan empat roda yang sarat dengan enam tong drum berisi minyak diesel bersubsidi.
Di Semporna, seorang lelaki warga asing diberkas di perairan Gelam-Gelam selepas cuba menyeludup keluar 104 jerekin berisi petrol ke negara jiran.
Dalam serbuan berasingan di kawasan laut Kampung Lumanggas, Semporna, sebuah pumpbot turut dikesan membawa 42,000 batang rokok pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran gelap.
Sementara itu, di Menumbok, seorang lagi lelaki tempatan diberkas selepas cuba menyeludup masuk 100 karton minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai dengan menggunakan sebuah kenderaan.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM326,664.50.
“Kesemua rampasan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967. PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat aktiviti yang menyalahi undang-undang. PPM komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
TAMAT