Catatan editor SH
TIDAK bermaksud untuk menindakkan kekuasaan Allah tetapi 15 September boleh disifatkan sebagai hari berduka buat Sabah.
Maka keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri merupakan keputusan yang tepat. Keputusan yang pastinya memperlihatkan bahawa kerajaan turut berduka dengan apa yang berlaku.
Tiada siapapun yang mahu kejadian tanah runtuh harus meragut nyawa dan bukan sesuatu yang baharu kejadian seumpama ini berlaku. Kejadian seumpama ini sudah seringkali berlaku setiap kali hujan yang turun dan berpanjangan.
Namun selalunya kita cuma meneka bahawa hujan yang turun dan berpanjangan itu hanya akan mengakibatkan banjir dan agak jarang untuk kita menjangkakan bahawa tanah runtuh akan berlaku. Jika berlakupun kita tidak akan menjangka tanah runtuh itu akan meragut nyawa.
Bermula daripada kejadian di Kampung Serapong Penampang yang meragut nyawa warga emas minggu lalu, kejadian yang sama turut berlaku di Kampung Cendera Kasih Kolombong dan juga di Kampung Mook, Papar.
Di Kampung Cendera Kasih Kolombong itu, tanah runtuh menghempap sebuah rumah. Ketika kejadian itu, 11 orang berada di rumah tersebut manakala di Kampung Mook pula dua buah rumah mengalami nasib yang sama. Situasi itu sama seperti yang berlaku di Kampung Serapong Penampang minggu lalu. Rumah dihempap oleh tanah runtuh.
Kejadian di Kampung Mook Papar mencatatkan dua kematian tetapi angka besar pada kejadian di Kampung Cendera Kasih Kolombong apabila mencatatkan tujuh kematian.
Kejadian yang menyedihkan buat kita semua. Namun perkara yang harus diberi perhatian ialah kewaspadaan setiap kita agar sentiasa ‘alert’ setiap kali hujan lebat yang berpanjangan. Sikap sentiasa ‘alert’ ini harus ada khususnya mereka yang tinggal di kawasan bukit sama ada berada di atas mahupun kawasan berhampiran.
Sentiasalah mengambil tindakan segera dengan berpindah ke kawasan selamat dan tidak memilih untuk terus berada di kawasan yang berisiko. Elaklah daripada sikap tunggu arahan atau sikap tunggu dan lihat dahulu.
Kita juga berharap kejadian seumpama ini tidak dipergunakan untuk tujuan politik. Sebaliknya kejadian ini memperlihatkan kesatuan rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik. Kesatuan yang mahukan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Apapun dalam situasi hujan yang berpanjangan, kita perlu semat dalam hati kita untuk sentiasa berhati-hati. Biarlah kita ambil keputusan yang bijak untuk kebaikan diri sendiri, keluarga tersayang dan juga orang ramai.
Takziah buat keluarga yang ditimpa musibah. Sabah Headlines turut berduka cita.
Editor Sabah Headlines