13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah bunuh rakan asrama

TAWAU, 22 Ogos – Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan 13 pelajar lelaki Kolej Vokasional Lahad Datu bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abdul Latif bersama TPR Ng Jhun Tao manakala pegawai penyiasat kes ialah ASP Suddin Tjinke KBSJD IPD Lahad Datu.

Kesemua tertuduh diwakili beberapa firma guaman termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm (Sandakan), Johari, Zelika & Amin (Tawau), Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.

Mahkamah menangguhkan hukuman sehingga 28 Ogos depan sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, kesemua pelajar itu didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.

TAMAT