sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 31 Ogos – Himpunan solidariti Justice For Zara di padang bola sepak Felda Desa Kencana semalam dihadiri kira-kira 1,000 warga Felda Sahabat.
Kehadiran ramai itu adalah bukti penyatuan rakyat merentasi politik, agama dan etnik, sekali gus menzahirkan sokongan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Sahabat, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata, insiden menimpa Zara Qairina membuka mata masyarakat untuk bangkit bersuara menentang kezaliman dan ketidakadilan.
“Selalunya masyarakat bersatu melalui sukan atau kebudayaan, tetapi himpunan Justice For Zara ini luar biasa kerana mampu menghimpunkan ramai individu tanpa mengira latar belakang.
“Kita bersatu kerana melihat adanya simbol kezaliman. Perkara sebegini tidak pernah berlaku di Sabah dan siasatan lanjut kita serahkan kepada pihak polis. Paling penting, mesej penyatuan ini merangkumi agama, etnik serta kehidupan bernegara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pelajar agar berani tampil membuat laporan jika berlaku sebarang aktiviti buli di sekolah.
“Masalah buli berpunca daripada kegagalan membuat laporan awal, meskipun saluran aduan sudah tersedia melalui guru atau kaunselor.
“Kalau rakan-rakan yang melihat atau mendengar kes buli tidak melaporkannya, maka tiada tindakan boleh diambil. Sebab itu mesej paling besar ialah pelajar mesti berani melaporkan kes buli,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan warga pendidik agar mengambil tindakan segera dalam tempoh 24 jam selepas menerima sebarang aduan bagi mengelakkan kejadian berulang.
TAMAT